JOHOR BAHRU – Empat lelaki yang ditahan awal pagi ini berhubung kes pukul seorang pemandu di hadapan sebuah surau di Taman Austin Perdana di sini semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, keempat-empat suspek berumur 21 hingga 55 tahun itu dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

Katanya, polis telah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu mangsa dan orang-orang di surau berkenaan bagi membincangkan kes berkenaan dan setakat ini, ia disifatkan terkawal.

“Kita akan siasat dari pelbagai sudut tetapi masyarakat diminta agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi di laman sosial.

“Saya juga mahu memberi amaran kepada pengguna-pengguna laman sosial di luar sana agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Sekiranya kita mendapati ada individu yang mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Pasaria anjuran Persatuan Kebajikan Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di perkarangan Dewan Dato’ Onn Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu, sebelum ini sengaja disebarluaskan oleh individu tidak bertanggungjawab yang tidak mempunyai maklumat tepat tentang kejadian.

Kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 1.00 tengah hari semalam, dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan seorang pemandu, lalu menyebabkannya membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang berlangsung.

Tindakan itu mengakibatkan sekumpulan lelaki dipercayai jemaah masjid merusuh di hadapan kenderaannya dan memukul pemandu terbabit.

Kejadian itu menjadi tular di laman sosial.