Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Pembatalan Perjanjian Penjualan Saham (SSA) projek pembangunan Bandar Malaysia adalah keputusan yang dibuat secara bersama mengikut perundangan perjanjian pembangunan yang dicapai sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau difahamkan terdapat penangguhan pembayaran beberapa kali iaitu lebih 10 kali oleh syarikat berkaitan yang mengundang kepada pembatalan itu.

“Oleh kerana Bandar Malaysia perlu dibangunkan mengikut tempoh pembinaan tertentu, mungkin kita harus lihat juga perundangan yang digunapakai ekoran daripada penangguhan pembayaran oleh syarikat terbabit di projek pembangunan itu.

“Sudah tentunya keputusan pembatalan itu 100 peratus bergantung kepada keputusan komersial dan harus juga dilihat dari segi ‘kehilangan peluang’ apabila penangguhan beberapa kali berlaku sebelum dibatalkan,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Ditanya sama ada keputusan pembatalan itu adalah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri, Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun menyatakan beliau tidak tahu mengenai perinciannya.

“Tetapi saya tahu bahawa apabila suatu perjanjian dilanjutkan lazimnya ia bukan keputusan seorang individu tetapi ia adalah keputusan Lembaga Pengarah atau keputusan yang diambil ekoran perlanggaran kontrak yang dipersetujui sebelum ini,” ujarnya lagi.

Pada 3 Mei lalu, TRX City Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan mengumumkan SSA dengan IWH-CREC membabitkan penjualan 60 peratus daripada modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn. Bhd. sudah luput dan terbatal.

Rabu lalu, TRX City Sdn. Bhd. yang dimiliki Kementerian Kewangan mengumumkan perjanjian yang dimeterai dengan IWH-CREC pada 2015 sudah luput dan terbatal kerana ‘gagal memenuhi obligasi pembayaran’.

IWH-CREC bagaimanapun menafikan dakwaan mereka gagal membuat pembayaran, walaupun telah diberikan penangguhan sebanyak 12 kali. Sebaliknya, konsortium kerjasama China-Malaysia itu menegaskan mereka sudah membuat semua bayaran itu kepada TRX City seperti termaktub dalam SSA.

IWH-CREC dalam satu kenyataan minggu lalu mendakwa mereka mempunyai kemampuan dan sumber kewangan mencukupi untuk menjayakan pembangunan Bandar Malaysia bernilai RM200 bilion itu.- MalaysiaGazette