Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.
KUALA LUMPUR – Parti-parti serpihan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) dijangka berkubur pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini susulan daripada tindakan Majlis Syura Ulamak Pas yang memutuskan hubungan politik dengan PKR.

“Saya meramalkan order baharu ini akan menyebabkan parti-parti serpihan kecil akan berkubur terutamanya PKR dan PAN dalam PRU14 sementara parti-parti utama akan membentuk kekuatan baharu.

“Saya fikir situasi ini akan bergerak ke arah satu bentuk order baharu politik tanahair yang kita boleh sama-sama saksikan bila menjelang PRU14 nanti,” katanya kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun Umno ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Syura Ulamak Pas yang bermesyuarat siang tadi sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Ia merupakan usul yang diluluskan tanpa bahas dalam Muktamar Pas ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah, April lalu.

Mengulas lanjut, Annuar juga berkata, keputusan Majlis Syura Ulamak Pas itu bukan sahaja berita baik buat Pas, bahkan ia bakal memberi manfaat kepada umat Islam.

“Saya kira ia berita baik untuk ummah dan baik kepada kepentingan orang Melayu, baik kepada wajah perjuangan Islam,” katanya.

Annuar turut menyifatkan tindakan Pas itu sudah dijangka kerana perbezaan perjuangan yang tidak berasaskan Islam.

“Lambat laun parti-parti yang tidak mempunyai asas dan dasar kepentingan agama, seperti PKR, DAP (akan putus), tidak seperti Umno dan Pas.

“Malah satu keanehan pula kalau Pas terus bekerjasama dengan parti-parti seperti PKR, Amanah ataupun DAP. Saya fikir ini (proses) adalah semulajadi, sudah dijangka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette