Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh.

KUALA LUMPUR – Polis memanggil tiga wartawan termasuk seorang jurugambar bagi membantu siasatan terhadap Ibrahim Mat Zin yang juga dikenali sebagai Raja Bomoh.

Sumber polis memberitahu kepada MalaysiaGazette, dua daripada tiga wartawan tersebut sudah diambil keterangan kelmarin di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi manakala seorang daripadanya akan diambil keterangan Isnin depan.

Bagaimanapun, sumber tersebut tidak menyatakan secara terperinci berkenaan siasatan tersebut.

Terdahulu, dalam satu sidang media khas di pejabat Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) , Ibrahim Mat Zin mengaku melakukan pembohongan atas ritual yang dibuatnya sebelum ini, dan membuat kenyataan taubat.

Dalam kenyataan itu juga, Ibrahim memberitahu bahawa beliau telah ‘dipaksa’ oleh seseorang untuk melakukan upacara ‘memagar’ perairan negara daripada pencerobohan negara Korea Utara.

Awal tahun ini, Ibrahim Bersama beberapa orang pembantunya mengadakan upacara ritual bagi melindungi negara daripada ‘serangan’ luar berikutan kes pembunuhan saudara tiri Presiden Korea Utara.-MalaysiaGazette