LONDON – Dalang disebalik serangan siber sehingga menyebabkan kerosakan sistem komputer di 100 buah negara kini diburu di seluruh dunia.

Agensi berita AFP melaporkan, penyiasat antarabangsa berkata, serangan terbaharu itu berlaku pada tahap diluar jangkaan dan memerlukan siasatan menyeluruh pada peringkat antarabangsa bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Gelombang serangan yang bermula Jumaat lalu itu disifatkan sebagai terbesar kerana menyasarkan agensi kerajaan dan syarikat utama di seluruh dunia, bank di Russia, hospital di Britain dan kilang kereta di Eropah.

Agensi polis Eropah (EUROPOL) berkata, sebuah jawatankuasa di Pusat Jenayah Siber Eropah ditubuh secara khas untuk membantu siasatan.

Serangan ransomware ini menggunakan kelemahan keselamatan dalam sistem operasi Microsoft dengan mengunci fail pengguna melainkan mereka membayar penyerang sejumlah wang dituntut menggunakan mata wang maya, Bitcoin.

Penyelidik pembuat perisian keselamatan Avast mengenal pasti 57,000 `jangkitan’ di 99 buah negara, dengan Russia, Ukraine dan Taiwan menjadi sasaran utama.

Jabatan Keselamatan AS pada Jumaat memaklumkan, mereka tahu tentang kewujudan virus berkenaan, dan berkongsi semua informasi dengan pihak terbabit selain bersedia memberi bantuan teknikal.

Microsoft dilapor telah memulakan proses kemas kini secara automatik untuk membantu pengguna melawan serangan virus tersebut. – MalaysiaGazette