KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kerjasama khusus dalam bidang Kecekapan Tenaga (EE) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (EE).

Dalam kenyataannya, TNB berkata, kerjasama tersebut akan memberi manfaat kepada UTM dalam mengoptimumkan kos tenaga elektrik dan menjana tenaga elektrik sendiri.

MoU itu dimeterai sebagai kolaborasi untuk memberi manfaat kepada UTM dalam mengoptimumkan kos tenaga elektrik dan menjana tenaga elektrik sendiri.

Antara potensi projek yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan, dinilai dan ditawarkan adalah Program Kecekapan Tenaga (EE) melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) yang melibatkan LED lighting retrofit and air conditioning di enam bangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) iaitu bangunan Pusat Pengajian Islam, Fakulti Geoinfomasi dan Hartanah, Fakulti Pengurusan, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Fakulti Kejuruteraan  Elektrik.

Agenda kedua adalah pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui dan unit penghawa dingin cekap tenaga untuk Masjid Sultan Ismail UTM.

Selain itu kolaborasi berkenaan turut menyentuh mengenai pembangunan dan pemasangan Sistem Penjanaan Kuasa Mini Hidro ‘Off-Grid’ di Empangan Jernih dan / atau Tasik Ilmu di UTM untuk tujuan pendidikan.

Ini juga melibatkan perlaksanaan sistem Building Integrated Photovoltaic (BIPV) menggunakan Skim Net Tenaga Permeteran (NEM) di Pusat Makmal Penyelidikan Universiti- Industri dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS)

MoU itu turut membangunkan kerjasama pendidikan dan penyelidikan dalam membangunkan kampus UTM Johor Bahru sebagai makmal hidup (Living Lab) dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

“MoU ini berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun . Ia menjadi pemangkin bagi kemajuan dan aktiviti penyelidikan berkaitan tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga elektrik UTM. Sekali gus, ia menjadikan kampus UTM sebagai makmal hidup (Living Lab) melalui program aktiviti penyelidikan termaju untuk menghasilkan lebih ramai penyelidik dan tenaga pakar tempatan,” kata kenyataan tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UTM Professor Dr. Azlan bin Abdul Rahman, menandatangani MoU bagi pihak UTM manakala, Pengarah Urusan, TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid pula mewakili TNBES.

Majlis MoU disaksikan oleh Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Abd Rahman, yang juga mewakili, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB.

UTM pula diwakili oleh Profesor Dr Abdul Latif Saleh, Pengarah Kerja UTM, Profesor Dr. Sevia. Mahdaliza Idrus Sutan Nameh dan Profesor Dr. Mohammad Yusri Hassan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM. – MalaysiaGazette