Ketua Pegawai Eksekuti (CEO) dan pegawai kanan Pusat Zakat Pulau Pinang ketika dibawa ke mahkamah untuk disambung reman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang baru-baru ini.

PULAU PINANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan seorang pegawai agensi itu disambung reman empat hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan agensi terbabit.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid selepas CEO berkenaan yang berusia 50 tahun dan pegawai kanannya itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 2 petang ini.

Terdahulu, di mahkamah sama pagi ini, tiga kontraktor yang turut ditahan berhubung kes sama dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan jaminan RM5,000 seorang.

Kelmarin, SPRM turut membebaskan tujuh individu masing-masing dua pegawai ZPP dan lima kontraktor yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lalu itu.

Pegawai ZPP itu dibebaskan dengan jaminan RM10,000 seorang manakala kesemua kontraktor terbabit pula dibebaskan dengan jaminan RM5,000 seorang.

Kesemua mereka minggu lalu ditahan SPRM negeri ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan di pusat zakat berkenaan membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.
Menurut sumber SPRM, CEO berkenaan yang bekerja di ZPP sejak 1995 dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal sebagai dorongan untuk memberi projek.

Malah, beliau turut dipercayai memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan. – MalaysiaGazette