Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berpendapat penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik bukan pengancam keselamatan.

Sebaliknya, beliau merupakan seorang penceramah ilmu perbandingan agama yang menyeru ke arah keamanan dan kedamaian dunia mengikut ajaran Islam.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, tohmahan liar pihak tertentu yang mengkategorikan Dr. Zakir sebagai pengganas dan dikaitkan dengan ISIS adalah tuduhan berniat jahat serta menghina pemimpin dunia Islam yang memberikan pengiktirafan tertinggi negara kepada penceramah dari India itu.

Sehubungan itu, Perkasa menegaskan, Datuk Seri S. Vell Paari tidak berhak mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Dr. Zakir kerana selagi proses perundangan berkaitan Red Notice dan Interpol belum dikuatkuasakan, penceramah itu bebas bergerak ke mana-mana tanpa halangan.

“Perkasa juga hendak memaklumkan bagi pihak Dr. Zakir bahawa penceramah itu telah melantik peguamnya di Malaysia iaitu Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co dan peguamnya telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan kesediaannya memberi kerjasama.

“Ini juga bagi memastikan hak undang-undang asasi Dr. Zakir oleh dijaga, dinasihatkan dan dilindungi mengikut undang-undang negara dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di sini, hari ini.

S. Vell Paari pada 12 Mei lalu mempersoalkan kredibiliti Dr. Zakir dan meminta Ketua Polis Negara menjalankan siasatan ke atas penceramah terkemuka itu atas alasan mempunyai kaitan dengan pengganas.

Menurut Syed Hassan, Perkasa akan mempertahankan pendakwah Islan bertaraf dunia itu yang juga diiktiraf sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun 2013.

Beliau memberitahu, mahkamah telah membenarkan Perkasa menjadi pencelah kepada saman pemula yang difailkan oleh Waytha Moorthy Pinnusamy dan 18 lagi terhadap Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.

Saman itu difailkan dengan alasan mempersoalkan keberadaan dan keabsahan status Dr. Zakir di Malaysia dan dengan kebenaran mahkamah untuk Perkasa menjadi pencelah adalah satu pengiktirafan terhadap peranan pertubuhan Melayu itu. – MalaysiaGazette