Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (kanan) melawat pameran Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram, Sime Darby Plantation Bestari Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2017.

IJOK – Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM510 juta kepada pekebun kecil kelapa sawit sebagai penghargaan kerajaan terhadap sumbangan industri perladangan tersebut yang sudah berusia 100 tahun.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan tersebut diumum setelah mengambilkira sumbangan pembangunan industri kelapa sawit kepada negara sejak ia mula diusahakan pada 1917.

“Makanya, mengambilkira sumbangan besar pekebun kecil kepada pembangunan industri ini, makanya pada petang yang berbahagia ini di hadapan lebih lima ribu orang hadiri dengan ini saya sukacitanya mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM510 juta untuk Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil,” kata Najib
semasa menghadiri majlis Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram, Ijok.

Najib berharap dengan peruntukan tambahan tersebut ia akan dapat membantu meringankan beban pekebun di samping dapat memastikan pengeluaran sawit negara mampu memenuhi permintaan pasaran.

“Saya berharap agar melalui peruntukan ini ia akan mampu meringankan beban kewangan para pekebun kecil untuk melaksanakan penanaman semula dan penanaman baharu sawit dan dalam masa yang sama memastikan pengeluaran sawit negara mampu memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Selain peruntukan tambahan, Najib juga turut mengumumkan pembinaan sekolah Tamil di Estet Tennamaran berjumlah RM 4 juta sebagai hadiah ulang tahun ke-100 pembukaan ladang sawit yang pertama di Malaysia.

Pembukaan Ladang Tennamaran menandakan bermulanya sejarah penanaman sawit negara secara komersial apabila Henri Fauconnier, seorang warga Perancis memutuskan untuk menggantikan kopi kepada tanaman sawit.

Dalam pada itu, Najib juga menggariskan tiga fokus dalam industri sawit bagi memastikan ia dapat dilonjak ke tahap yang lebih tinggi.

“Walaupun kini negara hanya merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, namun industri sawit Malaysia mampu menjadi yang terbaik dengan menguasai sektor hiliran dan Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan (R&D&C), penumpuan bagi menghasilkan produk serta bahan tanaman sawit yang bernilai tambah tinggi dan mesra tuaian, sekali gus menjana pendapatan tinggi.

“Kedua, menghasilkan produk sawit yang mampan, memenuhi keperluan dan kehendak semasa populasi dunia, selain memfokus kepada ‘zero waste’ yakni amalan mesra alam dengan memanfaatkan bahan-bahan buangan sawit serta gas metana yang dihasilkan selaras dengan permintaan semasa.

“Dan ketiga, menggerakkan industri sawit yang berteraskan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan tahap mekanisasi serta automasi,” ujarnya.

Menurut Najib, industri sawit sangat penting kepada Malaysia yang merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia dengan eksport sawit berjumlah RM67.6 bilion iaitu kira-kira 8.6 peratus daripada jumlah eksport barangan negara.

“Industri ini menyumbang kira-kira lapan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan lebih daripada satu pertiga daripada KDNK sektor pertanian pada 2016,” katanya.

Selain itu, Najib juga mengumumkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia atau MSPO yang akan dilaksanakan secara mandatori mulai 31 Disember 2019, bertujuan untuk menangani isu kemampanan ekoran tuduhan oleh beberapa kumpulan NGO yang mengaitkan kononnya industri sawit tidak mampan dan mencemarkan alam sekitar.

“Selaras dengan permintaan pasaran global terhadap minyak sawit mampan, saya sesungguhnya menyokong skim MSPO ini dilaksana secara mandatori mulai 31 Disember 2019,” ujarnya.

Sejak 1960, industri sawit di Malaysia membangun dengan pesat dengan hanya keluasan 40,000 hektar dan menghasilkan 90,000 tan minyak sawit mentah, namun pada 2016 keluasan menjangkau 5.74 juta hektar dengan pengeluaran sebanyak 17.31 juta tan.

Melihat pencapaian dan kejayaan yang diraih ini, Najib menyatakan keyakinan Malaysia bukan sebuah negara yang bankrap seperti yang didakwa dan sebenarnya berada di landasan yang betul menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Justeru, melihat kepada pencapaian dan pelbagai kejayaan yang diraih, khususnya dalam industri sawit ini, mana mungkin orang boleh nenuduh sesuka hati kononnya negara ini adalah ‘negara gagal’ dan bakal bankrap,” katanya. – MalaysiaGazette.