Nur Afiyah perlu jalani pembedahan jantung bagi menyelamatkan nyawanya.

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi perempuan berusia lebih sebulan memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM120,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Nur Afiyah Mohd Adnan dari Kangar, Perlis itu dikesan dengan masalah truncus arteriosus, kecacatan septum ventrikel (VSD) dan kecacatan septum atrium (ASD) sejak dia dilahirkan pada 7 April lalu.

Bapanya, Mohd Adnan Raman, 35, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu terpaksa dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) sejurus lahir kerana mempunyai masalah tertelan najis.

Katanya, Nur Afiyah yang lahir dengan berat 2.9 kilogram menerusi pembedah caesarean pada minggu ke-37 kehamilan terpaksa bergantung alat bantuan oksigen sejak dari itu.

“Doktor kemudian mengesahkan anak saya menghidap kecacatan jantung kongenital dan dia masih bergantung alat bantuan pernafasan sehingga kini.

Mohd Adnan dan isteri, Ku Masrainy Ku Aziz berharap pembedahan jantung itu dapat direalisasikan demi melihat anak mereka seperti kanak-kanak lain.

“Tanpa melakukan pembedahan, peluang untuknya terus hidup amat tipis,” katanya.

Menurut Mohd Adnan, dia dan isteri, Ku Masrainy Ku Aziz, 38, amat berharap pembedahan Nur Afiyah dilakukan sekali gus melihat bayinya itu membesar seperti anak perempuan mereka berusia 8 tahun yang mengalami masalah sama.

“Anak sulung telah menjalani pembedahan jantung semasa usia lapan bulan. Dia kini sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain.

“Namun, keadaan Nur Afiyah jauh lebih serius dan kami amat berharap bayi kami yang ketika ini kritikal dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga berkenaan memerlukan bantuan dana RM120,000 untuk meneruskan pembedahan itu.

“Ibu bapa Nur Afiyah telah tampil memohon bantuan dan kita berbesar hati membantu mengumpul dana kerana mereka tidak berkemampuan.

“Bapanya bekerja sebagai pekerja pembersihan kontraktor pihak berkuasa tempatan dan ibunya suri rumah.

“Justeru orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast