Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Tiga anggota Exco Pas akan kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang sehingga menerima kata putus daripada Sultan Selangor.

Ketika menjelaskan keputusan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana pelantikan ketiga-tiga Exco itu adalah atas perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kata beliau, keputusan untuk tidak mengganggu kedudukan Exco berkenaan juga mendapat restu Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bermesyuarat di ibupejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini.

“Mesyuarat diberitahu hari ini bahawa tiga anggota Exco Pas di Selangor dilantik oleh Sultan dan keputusan penamatan jawatan mereka juga harus dari Sultan bukan kerajaan negeri atau parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, hari ini.

Tuan Ibrahim diberi tanggungjawab memangku tugas Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bercuti rehat berikutan masalah kesihatan.

Pada masa sama, beliau menafikan laporan media yang mengatakan Pas Pusat mengarahkan tiga anggota Exconya meletakkan jawatan.

“Laporan itu tidak benar. Saya atau mana-mana kepimpinan Pas tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengarahkan tiga Exco di Selangor letak jawatan.

“Sejak Majlis Syura Ulamak Pas buat keputusan putus tahaluf siyasi, kita ambil pendekatan berdiam diri dan serahkan kepada Sultan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk membincangkan mengenai Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) yang akan ditamatkan pengedarannya dalam bentuk buku dan cakera padat (CD).

Kata beliau, Pas membantah keputusan SPR itu kerana larangan tersebut akan menyusahkan semua parti.

Baru-baru ini, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengeluarkan surat pekeliling mengarahkan semua Pengarah SPR Negeri mematuhi arahan untuk melarang pengedaran RDPT kepada parti politik. – MalaysiaGazette