Pusat Zakat P. Pinang

PULAU PINANG – Lima pegawai kanan Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang sebelum ini ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan sementara waktu di Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ZPP berusia 50 tahun yang akan ditempatkan di agensi berkenaan sehingga siasatan membabitkan penyelewengan di pusat zakat berkenaan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, kedudukan mereka dalam ZPP juga akan ditentukan Isnin ini selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah agensi berkenaan.

“Buat masa ini kesemua mereka yang dibebaskan daripada tahanan reman SPRM sejak 19 Mei lalu akan ditempatkan di MAINPP kerana ZPP juga beroperasi di bawah pengelolaan agensi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

SPRM sebelum ini menahan kelima-lima pegawai kanan ZPP itu sejak awal bulan ini bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan wang zakat untuk projek pembangunan masyarakat di agensi berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada 12 individu yang ditahan SPRM termasuk lapan kontraktor yang juga sudah dibebaskan secara berperingkat dengan jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, sebuah jawatankuasa siasatan juga sudah ditubuhkan bagi memutuskan terma dan rujukan serta menjalankan kerja pemantauan segera di ZPP ekoran skandal tersebut.

Katanya, jawatankuasa yang ditubuhkan Jawatankuasa Kewangan MAINPP itu dianggotai Jawatankuasa Audit ZPP, Ketua Audit Dalaman Kerajaan negeri, Bendahari negeri dan pegawai MAINPP sebagai Setiausaha.

“Jawatankuasa ini juga akan menghantar laporan berkaitan kepada MAINPP dari semasa ke semasa termasuk keputusan yang dibuat Ahli Lembaga Pengarah ZPP untuk kita hebahkan kepada umum,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada kesemua pegawai ZPP itu akan berdepan tindakan digantung tugas, Abdul Malik berkata, keputusan tersebut tidak boleh ditentukan buat masa ini kerana kes berkenaan masih dalam siasatan SPRM. – MalaysiaGazette