Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Sebahagian daripada idea dan aspirasi anak muda yang diterima Kementerian Belia dan Sukan dalam Siri Dialog Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bakal diumumkan dalam Bajet 2018.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepadanya dan ia akan dilaksanakan serta-merta tahun depan.

“Sebahagaian daripada idea yang kita terima melalui proses TN50 terutamanya Kumpulan Masa Depan TN50 ini akan diumumkan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada akhir tahun ini.

“Kita akan memberi keutamaan kepada idea-idea yang boleh dilaksanakan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kumpulan Masa Depan TN50 di Galeri Antarabangsa Alya Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Sehingga kini, KBS telah mendampingi lebih 1.2 juta belia menerusi siri dialog TN50 dan lebih 33,000 aspirasi berjaya dikumpulkan.

Sebanyak 80 peratus daripada 33,000 aspirasi itu telah diterima dan dikelompokkan kepada lima tema utama dan ia menjadi tunjang kepada fokus Kumpulan Masa Depan TN50.

Antara lima tema tersebut ialah Ekonomi dan Pekerjaan, Kehidupan dan Kesejahteraan, Tadbir Urus, Gaya Hidup dan Masyarakat.

Ditanya tentang keanggotaan ahli Kumpulan Masa Depan TN50, Khairy berkata, ia telah dilantik oleh sekretariat TN50 dalam kalangan belia Malaysia yang telah membuktikan ketokohan dan kewibawaan dalam pelbagai sektor.

“Setakat ini kita ada 84 belia dan 60 mentor yang telah dipilih daripada latar belakang masyarakat termasuk golongan pelajar, usahawan, ahli akademik, aktivis masyarakat, penggiat seni, profesional, penjawat awam dan ahli koporat,” katanya. – MalaysiaGazette