Proton pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran kenderaan
Proton Iriz

PETALING JAYA – Kereta jenama Proton dijangka tidak akan mengalami penurunan harga walaupun selepas 49.9 peratus sahamnya diambil syarikat China.

Presiden Persatuan Automobil Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berkata, harga kereta Proton sudah dianggap murah dan dijangka tidak diturunkan lagi selepas mengambil kira faktor inflasi, kenaikan gaji untuk pekerja dan peningkatan harga yang ditetapkan pembekal bahan.

Katanya lagi, pengeluar yang berhasrat menurunkan harga jualan perlu meminimumkan kos pengeluaran dan meningkatkan jualan.

Menurutnya lagi, berbanding penurunan harga, apa yang lebih mencuri perhatian sekarang ialah sama ada Proton akan membawa masuk teknologi luar dan meningkatkan daya saing di Malaysia.

Aishah berkata, kerjasama dengan rakan strategik baharu juga dijangka membantu Proton memasuki lebih banyak pasaran baharu.

Apa yang perlu dilakukan Proton, menurut Aishah, ialah menggunakan teknologi baharu dalam pembuatan kereta.

“Harga Proton sudah cukup murah, apa yang penting sekarang ialah menggunakan teknologi baharu dan memperkenalkan model yang mengikut perkembangan trend,” katanya kepada Sinchew Daily.

DRB-Hicom Berhad telah mencapai persetujuan dengan Zhejiang Geely Holding Group bagi membolehkan syarikat China itu mengambil alih 49.9 peratus saham dalam Proton.

Perjanjian itu membolehkan Proton mendapat akses kepada pelbagai platform dan enjin Geely selain memasuki pasaran yang sudah ditembusi syarikat China itu.