Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menjangka penerbangan pertama jemaah haji bagi tahun 1438 hijrah kali ini akan berlepas ke Mekah, Arab Saudi pada 24 Julai depan.

Menurut Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, segala persiapan sudah dibuat bagi segala urusan berkaitan haji pada tahun ini.

“Kita sudah buat persiapan untuk semua penerbangan dan surat tawaran sudah diberikan. Penerbangan pertama dijangka pada 24 Julai akan berlepas ke Arab Saudi,” katanya dalam majlis serahan dua buah kereta Proton Exora kepada Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Peringkat Kebangsaan (MTHQK) kali ke-60 di Kompleks TH hari ini.

Kuota jemaah haji tahun ini telah dinaikkan kepada 30,200 jemaah daripada 27,900 jemaah sebelum ini oleh kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Saya yakin dan percaya kerajaan Arab Saudi akan bekerja keras memastikan keselamatan pihak jemaah haji seperti tahun-tahun sudah. Kita yakin dengan faktor keselamatan pihak Arab Saudi yang begitu mantap dan telah mengatur segala persiapan.

“TH juga mainkan perana penting dalam menterjemahkan faktor keselamatan kepada jemaah. Kalau dulu, SARS yang berjangkit melibatkan jemaah haji, sekarang faktor keselamatan pula.

“Jadi agak penting untuk semua ikut arahan TH supaya keselamatan dapat dijaga,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perkembangan pampasan kepada keluarga jemaah haji yang terkorban dua tahun lalu, Azeez berkata, pihak Arab Saudi maklum mengenai perkara itu dan sedang berusaha mendapatkan pampasan.

“Pihak kerajaan tidak ada perkembangan terbaharu, bukan Malaysia sahaja yang tiada perkembangan, ia melibatkan seluruh negara.

“Baru-baru ini kita ada buat kunjungan hormat kepada Menteri Haji Arab Saudi (Mohammed Bentin) dan kita utarakan dan mereka maklum akan perkara itu. Mereka sedang usahakan pampasan itu,” ulas Azeez lagi.

Pada September 2015, tujuh rakyat Malaysia terkorban manakala 12 lagi jemaah cedera dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram.

Sebelum itu, pampasan sebanyak RM1.18 juta diberikan kepada jemaah yang meninggal dunia ekoran kejadian berkenaan, manakala RM588,976 kepada mangsa yang mengalami kecederaan tetapi boleh pulih seperti biasa. – MalaysiaGazette.