Muka depan akhbar The Star yang mencetuskan kemarahan umat Islam.

KUALA LUMPUR – Akhbar The Star menggantung tugas dua pengarang kanannya ekoran kontroversi laporan berita dan gambar muka depannya yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Menurut laman sesawang media berkenaan malam tadi, Ketua Pengarangnya, Datuk Leanne Goh Lee Yen dan Pengarang Eksekutif, Dorairaj Nadason digantung tugas untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan.

Penggantungan tugas kedua-duanya bagi membolehkan siasatan terhadap kes yang sama dilakukan.

Sepanjang tempoh penggantungan, Pengarah Urusan Kumpulan Star Media merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Wong Chun Wai akan menyelia operasi bahagian editorial akhbar berkenaan.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata dua kertas siasatan dibuka PDRM mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan terhadap akhbar The Star ekoran susulan penyiaran berita muka depan Sabtu lalu yang menyinggung perasaan umat Islam negara ini.

“Kita akan memanggil mereka yang bertanggungjawab memberi keterangan untuk mengetahui siapa yang mengeluarkan gambar dan tajuk di halaman pertama akhbar itu Sabtu lalu,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri kepada anggota keselamatan di sini semalam.- MalaysiaGazette