nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) bangga dengan kru kabin pesawat MH128 yang berjaya mengawal keadaan semasa insiden gangguan malam tadi.

Kemahiran dan prestasi tinggi kru kabin pesawat telah membuktikan mereka berupaya bertindak pantas dan sentiasa responsif dalam apa keadaan yang mungkin berlaku.

Situasi yang berlaku dalam pesawat berkenaan membuktikan kru kabin amat cekap apabila menghadapi suasana bahaya dalam pesawat.

“Tindakan kru kabin Malaysia Airlines itu sekali gus membawa pandangan positif kepada identiti dan prosedur keselamatan syarikat penerbangan itu,” kata NUFAM dalam kenyataan di sini.

Pesawat MH128 yang berlepas dari Melbourne ke Kuala Lumpur pukul 11.11 malam tadi terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpangnya mendakwa membawa bahan letupan dan cuba memasuki kokpit.

NUFAM berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada lewat malam semalam daripada kru kabin yang berada di Melbourne, yang menyatakan pesawat itu telah berpatah balik ke Melbourne kerana ada insiden pencerobohan kokpit pesawat.

Gembira selepas keadaan semuanya selamat, NUFAM berharap Malaysia Airlines akan merehatkan semua pekerja kru kabin pesawat berkenaan kerana kejadian ini sudah pasti memberi kesan dari segi mental dan fizikal mereka.

Berikutan kejadian itu, NUFAM berharap syarikat penerbangan menempatkan bilangan pekerja kru kabin yang cukup bagi setiap penerbangan.

“Pertimbangan meningkatkan kru kabin lelaki dalam setiap penerbangan juga amat penting. Ini kerana mereka biasanya bertindak lebih pantas dalam menangani sebarang kejadian yang menghalang perjalanan pesawat.

“NUFAM juga berharap semua syarikat penerbangan akan mengambil lebih ramai pekerja kru kabin lelaki dari segi aspek keselamatan penerbangan dan penumpang. – MalaysiaGazette