ADUN Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani (kanan).

KOTA BHARU – Kerusi Dewan Undangan Nenggiri diisytiharkan kosong selepas penyandangnya Datuk Mat Yusoff Abd Ghani daripada Barisan Nasional (BN) diisytiharkan muflis.

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdulah Ya’kub berkata, pihaknya menerima surat mengenai status Mat Yusoff daripada Jabatan Insolvensi Selangor pada 28 Mei lalu.

“Mat Yusoff diisytiharkan muflis sejak 9 November tahun lalu. Sebelum itu, Pejabat Penasihat Undang-undang negeri Kelantan telah menerima surat sama mengenai makluman kebangkrapan tersebut lebih awal iaitu pada 21 Mei lalu.

“Mengikut Perkara 31 (1) Undang-undang Perlemmbagaan Tubuh kerajaan Kelantan menyatakan ‘dengan tertakluk kepada syarat-syarat perkara ini, seseorang itu tidak layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri jika ia muflis yang belum selesaikan lagi’,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah berkata, beliau akan menghantar surat serahan tangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri memaklumkan perkara ini pada Ahad ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada Abdulah untuk menentukan sama ada ingin mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri atau sebaliknya.

Pengarah SPR negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab berkata, bagaimanapun, PRK tersebut tidak semestinya diadakan selepas melebihi tempoh tiga tahun selain Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka semakin hampir.

“Selalunya apabila melebihi tempoh tiga tahun atau sudah lepas edah, PRK tidak perlu dibuat namun apa-apa pun bergantung kepada keputusan Speaker DUN sama ada ingin mengadakan pilihan raya atau tidak.

“Pada masa sama, kita lihat kerajaan negeri Kelantan masih stabil meskipun satu kerusi DUN terpaksa dikosongkan,” katanya.- MalaysiaGazette