Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali menunjukkan dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan di sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang Rabu lalu, ketika sidang akhbar di di ibu pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini hari ini.

PULAU PINANG – Taktik menyembunyikan dadah dengan membalutnya di dalam bungkusan teh Cina dan bekas pembesar suara oleh satu sindiket di negeri ini gagal memperdaya polis selepas berjaya ditumpaskan dalam satu operasi Rabu lalu.

Dalam serbuan antara pukul 5.45 petang dan 10.15 malam itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.63 juta.

Rampasan membabitkan dadah jenis syabu seberat 21 kilogram (kg); 7,800 biji pil eramin 5 dan 18 gram ganja itu sekali gus berjaya menyekat bekalan kepada kepada kira-kira 100,000 penagih.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan dalam lima serbuan di beberapa lokasi di sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.

Dalam serbuah itu, pihaknya turut berjaya menahan enam individu termasuk salah seorang yang dipercayai ketua sindiket berkenaan dengan ada daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau selain turut positif dadah.

“Kita turut berjaya merampas wang tunai berjumlah lebih RM9,400, pelbagai barangan kemas termasuk empat bentuk cincin, tiga kepingan emas, seutas gelang dan rantai.

“Turut dirampas dua kereta jenama Mercedez Benz C200 dan Toyota Camry serta tiga motosikal jenama BMW R1200, Naza Blade 650R dan Benelli TNT600 yang keseluruhanya bernilai hampir RM300,000,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Mengulas dakwaan negeri ini sebagai transit dadah antarabangsa ekoran peningkatan kes rampasan dadah, Zulkifli berkata, sindiket dadah antarabangsa ketika ini bergerak aktif di kawasan yang dikenali sebagai Segitiga Emas seperti Myanmar, utara Laos dan utara Thailand.

Menurut beliau, sindiket itu kemudiannya menyasarkan pelbagai negara termasuk Malaysia untuk memasarkan dadah mereka.

“Sehubungan itu, kita akan terus menggiatkan risikan dan operasi bagi membanteras sindiket ini yang diyakini masih bebas,” katanya. – MalaysiaGazette