Suasana pilu di tempat kejadian yang melibatkan kemalangan sebuah van membawa anak-anak tahfiz menyebabkan tujuh maut. Gambar sumber media sosial

KUALA KRAI – Siasatan awal polis mendapati pemandu van Maahad Tahfiz Al Hashimi, Tualang yang terlibat dalam kemalangan sehingga meragut tujuh nyawa dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj berkata, bagaimanapun pemandu tersebut, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, tidak mempunyai sebarang rekod saman trafik.

Katanya, siasatan pihaknya juga mendapati kemalangan tersebut berlaku ketika van jenis Maxus V80 Westar yang dinaiki 14 mangsa dari arah bandar Kuala Krai menghala ke Kota Bharu itu memotong sebuah kereta di hadapannya.

“Pemandu ini dipercayai gagal mengawal kenderaannya selepas memotong sebuah kereta di hadapannya.

“Dia cuba untuk masuk semula ke laluan asal tetapi gagal mengawal van tersebjy sehingga terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebuah rumah,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita akan merakamkan keterangan daripada semua mangsa dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut manakala tujuh lagi parah selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Telekong. – MalaysiaGazette