Chong Sin Woon
PETALING JAYA – Sekolah kebangsaan yang sepatutnya terbuka kepada semua rakyat gagal mendapat sambutan ibu bapa bukan Melayu sejak 1990-an kerana sekolah itu tidak dapat mempamerkan budaya sekolah yang bersifat multirasial.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, proses Islamisasi di sesetengah sekolah termasuk upacara keagamaan yang dijalankan juga mewujudkan persepsi bahawa sekolah kebangsaan tidak bersifat kebangsaan.
Katanya kepada Sinchew Daily, laporan berita seperti penyembelihan lembu di sekolah hanya mengeruhkan keadaan.
Menurutnya lagi, ibu bapa zaman sekarang memandang berat kualiti sekolah dan budaya persekolahan yang baik dipercayai dapat menarik lebih ramai murid daripada keturunan yang berlainan ke sekolah kebangsaan.
“Kalau dapat melakukan perubahan di sekolah kebangsaan tanpa menjejaskan sekolah aliran lain, maka perubahan itu boleh dipertimbangkan.
“Jika dapat melakukannya dengan baik, ibu bapa akan menghantar anak untuk belajar di situ,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini membayangkan pembentukan sekolah kebangsaan yang mewujudkan perpaduan.
Antara ciri sekolah itu adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, memperkasakan bahasa Inggeris, menjadikan  bahasa Tamil, Cina dan Arab sebagai ‘subjek pilihan serta menyediakan pendidikan berkualiti dan mempunyai komposisi guru dan murid pelbagai kaum.
Najib menegaskan bahawa bukan beliau mengemukakan cadangan berkenaan tetapi ingin membayangkan ciri sekolah yang mewujudkan perpaduan bermula dari sekolah. – MalaysiaGazette