Mat Yusoff ADUN Nenggiri sejak PRU 2004.

KOTA BHARU – UMNO Kelantan akan membantu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neninggiri, Datuk Mat Yusoff Abd Ghani untuk menyelesaikan masalah muflis yang dihadapinya.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa bekas ADUN Nenggiri selama tiga penggal berturut-turut itu.

Katanya, Mat Yusoff merupakan bekas wakil rakyat yang berdedikasi dan telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penduduk dan negeri ini.

“UMNO kelantan akan cuba berikhtiar membantu Mat Yusof dalam apa jua cara termampu.

“UMNO kelantan juga akan terus membantu rakyat DUN Nenggiri seperti biasa semasa dalam keadaan ketiadaan wakil rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdulah Ya’kub mengisytiharkan Mat Yusoff hilang kelayakan memegang jawatan tersebut selepas diisytihar muflis sekali gus menjadikan kerusi tersebut kosong.

Hanafi berkata, pihaknya menghormati dan akur dengan keputusan Speaker DUN mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong ekoran kedudukan Mat Yusof yang muflis. – MalaysiaGazette