Jenazah Zulfarhan Osman Zulkarnain selepas selesai bedah siasat di Hospital Serdang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ibu kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang menjadi mangsa buli mengakui naluri ibunya tersentuh dengan berita kematian ZulfarhanĀ Osman Zulkarnain.

“Saya sangat, sangat sedih apabila baca kronologi kematian arwah…menitis air mata saya lebih-lebih lagi apabila dia ada mengadu kepada kawannya yang dia dipukul. Saya doakan agar roh arwah tenang dan dicucuri rahmat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ibu kepada tiga orang anak itu melahirkan rasa syukur kerana berjaya mengesan perubahan anaknya sikap anaknya selepas dibelasah oleh beberapa pelajar Tingkatan 3 dan 4 MRSM Alor Gajah.

Kes yang melibatkan bekas pelajar Tingkatan 2 MRSM Alor Gajah itu masih disiasat.

Sebelum ini, MalaysiaGazette dimaklumkan siasatan melibatkan seramai 17 pelajar Tingkatan 3 dan 4.

Dalam pada itu, wanita itu memberitahu, emosi anak lelakinya semakin pulih dan akan kembali ke sekolah selepas cuti nanti.

“Saya bersyukur nasib anak saya tidak seperti Zulfarhan. Dia semakin baik dan kini mampu bercerita dengan terbuka apa yang berlaku padanya,” tambahnya.

Nasihat beliau, ibu bapa perlu prihatin dengan keluhan anak-anak terutama yang menjadi mangsa buli.

Malah, beliau meminta ibu bapa agar tidak lagi khuatir untuk berterus-terang dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika anak mereka dibuli.

“Kita perlu bersama-sama membendung gejala tidak sihat ini daripada berleluasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette