JOHOR BAHRU – Seramai 29 orang termasuk 20 wanita warga asing ditahan polis atas pelbagai kesalahan dalam Ops Noda di tujuh lokasi di negeri ini berakhir tengah malam tadi.

Ketua Jabatan siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, selain wanita warga asing, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita tempatan.

“Mereka yang berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas 74 orang menerusi tujuh serbuan yang dijalankan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, tujuh serbuan itu membabitkan kawasan di bawah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara, IPD Iskandar Puteri, IPD Muar dan IPD Kluang.

Beliau berkata, tempat yang diserbu merupakan premis hiburan dan pusat spa yang didapati melanggar syarat lesen atau beroperasi tanpa lesen.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(1)(c) akta yang sama dan Seksyen 38b Peraturan Imigresen 1959/63. -MalaysiaGazette