JAKARTA – Sekurang-kurangnya 52 titik panas yang menunjukkan kebakaran hutan di beberapa lokasi di Sumatra dan Riau kelihatan pada imej satelit pada hari ini.

“Kami mengesan (titik panas) pada pukul 7 pagi,” kata Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, Otto Sukisno seperti yang dipetik tempo.co.

Jambi mempunyai titik panas terbanyak iaitu 17 lokasi disusuli Bengkulu (12 lokasi), Sumatra Selatan (tujuh lokasi), Lampung (enam lokasi), Sumatra Utara (tiga lokasi), Sumatra Barat (tiga lokasi) dan Bangka Belitung (satu lokasi).

Di Riau, titik panas turut dikesan di Indragiri Hulu, Rokan Hulu dan Rokan Hilir.

Sejak tiga hari lalu, titik panas turut dikesan di beberapa lokasi lain di Riau iaitu di Kuala Kampar, Pelalawan, Rokan IV Koto, Rokan Hulu dan Siak Kecil.

Sebuah helikopter Super Puma telah ditempatkan di Pengkalan Udara Roesmin Nurjadin bagi memantau titik panas tersebut.

Jurucakap pengkalan udara itu, Mejar Rizwar berkata, sebuah lagi helikopter yang berkeupayaan membawa air seberat empat tan juga telah dikerahkan untuk melakukan ‘bom air’ di beberapa kawasan yang terbakar di Riau baru-baru ini.

“Ia telah melakukan 12 ‘bom air’ bagi memadamkan kebakaran di Siak Kecil,” kata Rizwar. – MalaysiaGazette