Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan supaya satu audit bagi menilai semula aspek sistem keselamatan dan modul latihan dalam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ia susulan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera baru-baru ini.

Menteri Pertahanan itu berkata, arahan itu sudah diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera dan laporan pengauditan itu akan terus dilaporkan kepadanya bagi melihat perkara yang perlu ditambah baik dengan segera.

“Saya juga telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Nor untuk menghantar pegawai dari Bahagian Inspektorat Jeneral (yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan dan pengauditan terhadap keberkesanan sistem keselamatan dan modul latihan), bagi menilai keseluruhan sistem termasuk sistem keselamatan UPNM.

“Pegawai ini kemudiannya akan melaporkan terus kepada saya berhubung aspek yang perlu ditambah baik dengan kadar segera,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung siasatan kematian Zulfarhan, beliau berkata Lembaga Penyiasatan Khas sedang menyiapkan laporan mereka bagi mengetahui punca sebenar kes tersebut.

Ketika ini, saya sedang menunggu laporan siasatan daripada Lembaga Penyiasatan Khas yang ditubuhkan oleh ATM bagi mengetahui punca sebenar kejadian sekali gus mengenal pasti individu yang terlibat.

“Lembaga Penyiasatan Khas ini akan dipengerusikan sendiri oleh Panglima Angkatan Tentera. Lembaga Penyiasatan Khas ini akan melapor terus kepada saya,” katanya.

Beliau juga meminta pihak ATM supaya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam menyiasat kes tersebut.

“Saya juga telah meminta semua pihak yang terlibat termasuk ATM agar memberi sepenuh kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedangĀ melaksanakan siasatan. Tiada siapa yang akan terlepas jika didapati bersalah,” katanya.

Mengenai mereka yang terlibat dalam kes dera Zulfarhan, Hishammuddin juga berkata kesemua 32 Pegawai Kadet yang terlibat sudah digantung dan akan dipecat sekiranya didapati bersalah.

Serentak itu, saya telah mengarahkan pihak Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) untuk mengambil tindakan menggantung kesemua 32 Pegawai Kadet yang terlibat, sementara menunggu proses siasatan selesai.

“Mereka juga akan dipecat daripada perkhidmatan ALK jika didapati bersalah menyembunyikan jenayah kekerasan terhadap Allahyarham Zulfarhan daripada pengetahuan pihak atasan,” ujarnya.

Terdahulu awal hari ini, Hishammuddin juga melawat keluarga arwah di Johor dan menyampaikan sumbangan serta berjanji akan memberi keadilan kepada keluarganya dalam kes tersebut.

“Saya ingin memaklumkan bahawa hari ini Kementerian Pertahanan dan ATM akan menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

“Selain itu, dalam masa terdekat, ahli keluarga Allahyarham turut bakal menerima sumbangan berbentuk insurans kelompok, ganjaran terbitan dan pencen terbitan setiap bulan. Sumbangan ini akan diserahkan kepada keluarga Allahyarham Zulfarhan apabila proses dokumentasi selesai,” katanya. – MalaysiaGazette.