KUALA LUMPUR – Para pengguna lebuh raya PLUS dnasihat supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) pada hari-hari puncak sempena Hari Raya di antara 21 Jun hingga 3 Julai ini bagi mengelak kesesakan.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail berkata, berdasarkan TTA, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor disarankan supaya memulakan perjalanan dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 10 pagi.

Manakala, pengguna lebuh raya yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

“Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke negeri-negeri lain di Perak (tengah), Perak (selatan), Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka di lebuh raya.

“Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke kampung halaman dengan lebih lancar,” katanya di sini.

PLUS menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan akanmenggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap haripada hari-hari puncak bersempena dengan perayaan Aidilfitri, peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, berdasarkan kajian PLUS terhadap pola perjalanan orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu.

Jadual tersebut berperanan mengelakkan orang ramai daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan. – MalaysiaGazette