Johari Ghani melawat kelas pendidikan seni selepas selesai Majlis Pelancaran Khazanah Nasional Sustainable & Responsible Investment (SRI) Sukuk di Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menerbitkan tranche kedua Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bernilai RM100 juta.

Terbitan itu dibuat melalui syarikat khas, Ihsan Sukuk Berhad.

Struktur sukuk itu berlandaskan Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

CIMB Bank bertindak sebagai pengatur tunggal sementar Maybank Investment Bankndan RHB Investment Bank menjadi pengurus akaun bersama dan pengurus utama bersama sukuk SRI ini.

Sebahagian tranche kedua sukuk SRI RM100 juta ini akan mempunyai bahagian runcit bagi memberi peluang kepada individu untuk terlibat menyokong pelaksanaan Program Sekolah Amanah seterusnya.

Struktur unit pulangan yang berkurangan serta pilihan untuk melepaskan pelaburan pokok sukuk SRI membolehkan pelabur membuat sumbangan secara berperingkat serta menderma kepada Program Sekolah Amanah.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, hasil terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pelaksanaan sekurang-kurangnya 20 sekolah baharu di bawah Program Sekolah Amanah Yayasan Amir.

Yayasan Amir merupakan pertubuhan yang ditubuhkan oleh Khazanah untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolah-sekolah kerajaan melalui kerjasama sektor awam-swasta bersama Kementerian Pendidikan.

Sukuk SRI ini merupakan usaha berterusan Khazanah menjana inovasi dalam bidang kewangan Islam, selain mengukuhkan kedudukan negara sebagai kewangan Islam. – MalaysiaGazette