Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri sebanyak dua bulan gaji kepada kakitangan kerajaan negeri yang akan dibayar 21 Jun ini.

Beliau berkata seramai 17,703 penjawat awam Selangor bakal menerima bantuan kewangan khas itu yang membabitkan peruntukan RM63.3 juta.

“Ini adalah tanda penghargaan kepada penjawat awam di atas komitmen dan dedikasi mereka dalam memaju dan membangunkan negeri Selangor.

“Dan ini juga adalah berdasarkan prestasi kewangan semasa dan sebab itu kita bersetuju memberikan bantuan ini kepada penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini.

Beliau berharap pemberian bantuan khas itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri Selangor turut bercadang untuk memberikan satu lagi insentif kewangan kepada penjawat awam pada penghujung tahun ini, namun ia tertakluk kepada prestasi jabatan dan anggota perkhidmatan awam negeri.

“(Jumlah) insentif itu akan kita umumkan kelak dan ia bergantung kepada prestasi jabatan dan anggota. Sekiranya mereka berkhidmat dengan lebih cemerlang, sudah tentu mereka mendapat ganjaran lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette