Azman Ismail bercakap pada sidang media Persediaan Operasi PLUS Hadapi Pertambahan Trafik di Lebuh Raya sempena Cuti Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di Persada PLUS, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 JUN 2017

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan 1.7 juta kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari-hari puncak Hari Raya Aidilfitri 2017.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 21 peratus berbanding 1.4 juta pada hari-hari biasa.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, bagi mengelakkan kesesakan PLUS melaksanakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) mulai 21 hingga 3 Julai ini.

Langkah itu bagi mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat.

“TTA mengelakkan kenderaan berkumpul pada satu-satu masa di lokasi di lebuh raya pada masa yang sama.

“Lantaran itu, kami berharap pengguna dapat mematuhi TTA bagi perjalanan balik dan pulang dari kampung,” kata Azman di sini hari ini.

Berdasarkan jadual TTA, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor disarankan supaya memulakan perjalanan dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 10 pagi.

Manakala, pengguna lebuh raya yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

Selain melaksanakan jadual TTA, Azman berkata, PLUS menempatkan lebih ramai kakitangan lebuh raya dan pusat kawalam trafik, pasukan rondaan dan petugas bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik.

PLUS juga membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk kelancaran trafik.

Namun ia tertakluk kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran polis trafik.

Bagi membantu merancang perjalanan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui [email protected], aplikasi PLUS Mobile Apps, talian PLUSline 1800 88 0000 dan papan-papan tanda elektronik.

PLUS turut menambahbaik aplikasi PLUS Mobile Apps dengan memasukkan butang fungsi SOS bagi membolehkan pengguna mendapat bantuan apabila berlaku kecemasan dan kemalangan serta lain-lain.

“Sejurus menerima notifikas, Pusat Kawalan Trafik akan terus menghubungi pengguna untuk mengkoordinasi bantuan yang diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette