Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menggesa kerajaan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa nahas pesawat pejuang Hawk 108.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia bagi membantu keluarga mangsa untuk meneruskan kehidupan selepas ini.

“Kami juga berharap pihak kerajaan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada keluarga ditinggalkan mereka.

“Semoga anggota keluarga tabah menerima ketentuan qada’ dan qadar ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas insiden jet pejuang dua tempat duduk, Hawk 108 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) hilang di utara Kuantan iaitu di sempadan antara Terengganu dan Pahang, kira-kira 11.30 pagi, hari ini.

Pesawat malang itu berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11 pagi dan terputus hubungan selepas 30 minit ke udara.

Muhammad Khalil juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas terbabit.

“Kami berasa dukacita atas tragedi melibatkan pesawat pejuang Hawk 108 TUDM yang mengorbankan dua juruterbangnya.

“Kami mendoakan semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas kedua pejuang negara itu,” katanya. – MalaysiaGazette