T. Nhaveen

KUALA LUMPUR – Berita sedih kematian T. Nhaveen, yang dibuli dan dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lepas bukan sahaja mendapat perhatian warga Malaysia, malah turut dikongsi oleh pengguna media sosial antarabangsa.

Komposer terkenal India A.R. Rahman yang juga idola Nhaven, dalam catatan Twitternya mendoakan pemulihan Nhaveen, bagaimanapun beliau kemudian dimaklumkan mengenai pemergian Nhaveen menerusi satu catatan Twitter daripada pengguna lain.

Turut berkongsi kesedihan tersebut, pelakon filem Tamil dari India, Vijay Antony turut berkongsi di laman Facebooknya dengan status RIP (Rest In Peace).

Sementara itu, sebuah portal berita dalam talian di India juga turut memuat naik di Twitter mengenai Nhaveen, dengan tajuk “#Remaja Malaysia yang mati otak ini mahu menjadi seperti #ARRAhman.”

Remaja berusia 18 tahun ini meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 6 petang semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam catatan di Twitternya berkata keadilan dan tindakan tegas akan diambil atas kematian Nhaveen. Najib turut mengucapkan takziah kepada keluarga remaja itu. – MalaysiaGazette