Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Madzhir Khalid memberitahu, kementeriannya masih menjalankan siasatan berhubung kematian Nhaveen, 18, akibat dipukul dan didera beberapa remaja, Sabtu lalu.

Menurutnya, segala maklumat akan diberitahu kepada umum dalam masa terdekat.

“Saya belum dapat lagi maklumat terkini mengenai perkara itu. Media akan diberitahu kemudian,” katanya kepada media ketika mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi merasmikan Seni Negaraku di Balai Seni Negara hari ini.

Menurutnya, maklumat sebenar mengenai kejadian tersebut masih belum dipastikan sepenuhnya.

Nhaveen meninggal dunia kelmarin selepas lima hari berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang ekoran mengalami cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit, George Town sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur.

Seorang lagi rakannya, T. Previin, 19, dilapor turut dipukul oleh kumpulan berkenaan menggunakan topi keledar namun sempat meloloskan diri bagi mendapatkan bantuan.

Susulan kejadian itu, tiga remaja berusia 18 hingga 19 tahun direman manakala dua pelajar tingkatan empat dan lima juga akan dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman bagi membantu siasatan kes berkenaan. – MalaysiaGazette.