Jumlah keluarga yang terdapat berhampiran tepi sungai dan terlibat dalam banjir di Ulu Langat belum dapat dipastikan.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat sejak 2 petang tadi menyebabkan banjir kilat di sekitar Batu 13 hingga Batu 19 di kawasan Hulu Langat, Selangor petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir di sepanjang tepi Sungai Hulu Langat pada pukul 3.50 petang.

“Kami segera mengerahkan seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dan Bangi ke lokasi kejadian dan mendapati air setakat ini pada ketinggian paras lutut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Sani berkata pihaknya sedang menilai sama ada perlu mengarahkan penduduk berhampiran pinggiran sungai untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Beliau berkata jumlah keluarga yang terdapat berhampiran tepi sungai dan terlibat juga belum dapat dipastikan.

— BERNAMA