Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Malaysia menuduh Eropah melakukan diskriminasi terhadap negara ini apabila memasarkan lebih 1,600 produk minyak sawit Itali tanpa logo yang sah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan tindakan Eropah itu sebagai tidak adil kerana Malaysia sentiasa mematuhi piawaian kemampaman pengeluaran minyak sawit yang ditetapkan.

“Pada 2 Jun lalu, Mahkamah Rayuan di Belgium bagaimanapun memutuskan penjualan produk minyak sawit tanpa mempamerkan logo minyak sawit yang sah perlu dihentikan segera.

“Tetapi lebih 1,600 produk kelapa sawit di Itali tanpa logo minyak sawit dibenarkan,” katanya dalam sidang media di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Cheras di sini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) Gerakan.

Lantaran itu katanya, keputusan mahkamah yang telah memihak kepada Malaysia akan digunakan untuk menjelaskan kepada Itali dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) tentang senario sebenar tanaman kelapa sawit di Malaysia.

Tegas Siew Keong, setakat ini tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan industri minyak kelapa sawit tempatan boleh menjejaskan kesihatan manusia ataupun menyumbang pemusnahan hutan secara agresif.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Eropah pada bulan depan untuk menjelaskan pendirian dan ketegasan Malaysia mengenai minyak kelapa sawit.

“Malaysia memandang serius isu alam sekitar dan pemusnahan hutan seperti yang didakwa ke atas Malaysia dan membawa deklarasi memboikot produk sawit oleh EU.

“Saya memberi jaminan kepada EU yang membawa Deklarasi 2020 bahawa tanaman sawit mesti berasaskan sumber-sumber mampan.

Usaha itu penting kerana Eropah merupakan pengimport terbesar produk kelapa sawit Malaysia dengan jumlah RM10 bilion pada tahun lalu.

“Saya juga memberi jaminan menjelang akhir 2019 semua ekport minyak sawit ke Eropah dari para pengusaha kecil ladang minyak sawit Malaysia memiliki Sijil Kemampanan Kelapa Sawit,” katanya. – MalaysiaGazette