KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang didakwa UMNO.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, PH sebaliknya hanya menyentuh isu rasuah, salah guna kuasa, hukuman mahkamah dan kedaulatan undang-undang.
“Saya baca kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Saya cuma mahu tanya satu perkara, ayat mana dalam kenyataan PH yang mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong?
“Jangan letakkan perkataan yang tidak pernah disebut oleh PH. Kenyataan PH sangat jelas. Kita menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu sebagai respons kepada Asyraf yang mempersoalkan pendirian PH mengenai hukuman terhadap individu yang disabitkan kesalahan rasuah serta mengaitkannya dengan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Danish berkata, pendirian terhadap rasuah tidak harus dilihat sebagai serangan terhadap institusi Raja, malah PH menghormati kuasa pengampunan seperti diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tetap kita hormati. Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dinafikan atau dipertikaikan dalam kenyataan PH.
“Menghormati kuasa pengampunan bukan bermaksud kita perlu diam tentang rasuah. UMNO sendiri mengatakan mereka tidak mahu mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan. Kalau begitu, biarkan proses itu berjalan mengikut Perlembagaan,” ujarnya.
Beliau pada masa sama berpandangan perbahasan mengenai rasuah dan integriti perlu kekal tertumpu kepada persoalan berkenaan tanpa mengheret institusi Raja.
“PH tidak mempertikaikan Raja. PH mempertahankan prinsip bahawa rasuah mesti dilawan dan kedaulatan undang-undang mesti dihormati,” katanya. -MalaysiaGazette
















