NGO, Mydin rai rumah anak yatim, asnaf

SUBANG – Jalinan Sukarelawan Malaysia bersama dengan tiga rumah perlindungan anak yatim dan asnaf semalam meraikan kira-kira 200 kanak-kanak dengan sumbangan keperluan Hari Raya Aidilfitri.
Kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 16 tahun itu merupakan penghuni Rumah Bakti Al-Kausar, Rumah Permata Hatiku dan Pusat Jagaan Amal Asyura yang terletak di sekitar Lembah Klang.
Antara yang dibeli daripada gedung membeli-belah Mydin USJ itu termasuklah songkok, baju Melayu, kerongsang, kasut, tudung dan baju kurung.
Program tersebut diketuai oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil dan dibantu oleh timbalannya, Mohammad Noorizzuddin Nooh.
Turut sama menjayakan program tersebut, seramai 21 orang sukarelawan daripada Universiti Malaya. Program itu bermula daripada pukul 3 petang hingga selesai berbuka puasa pada  pukul 8 malam. – MalaysiaGazette