Home Nasional Penyamun emas ditembak mati

Penyamun emas ditembak mati

BUKIT MERTAJAM – Seorang penjenayah bersenjata yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun ditembak mati di Jalan Berjaya awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner, Zainol Samah berkata, kejadian itu berlaku selepas polis yang menjalankan Ops Khas Samun mengesan sebuah kereta yang mencurigakan pada pukul 1.25 pagi.

Polis telah cuba mengekori kereta berkenaan dan cuba meminta pemandunya berhenti di Jalan Song Ban Keng tetapi kereta itu dipandu laju menuju ke Kampung Baru di Bukit Mertajam.

Pihak polis berjaya memotong kereta berkenaan dan memaksanya berhenti di Jalan Berjaya, Bukit Mertajam.

Ketika polis menghampiri kereta berkenaan, lelaki itu telah melepaskan tembakan.

Lelaki berusia 31 tahun itu mati ketika berbalas tembakan dengan polis.

“Siasatan polis menemukan pistol jenis Luger CZ 75P-01-CAL.9 dengan lima butir peluru dan kelongsong peluru dalam kereta berkenaan,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek itu merancang untuk melakukan rompakan emas di Butterworth.

Suspek juga mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 395/397 kerana rompakan bersenjata dan merupakan penjenayah yang dikehendaki bagi melakukan rompakan emas bernilai RM30,000. – MalaysiGazette