Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mendengar penerangan dari Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, (kiri) sambil diperhatikan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Haini Hassan (kanan) pada Majlis Perasmian Konvensyen Bantuan Guaman Malaysia 2017 anjuran Jabatan Bantuan Guaman di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi, Selangor.

BANGI – Rakyat Malasyia tidak boleh terus bulat-bulat mempercayai tuduhan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othaman Said.

Beliau berkata, segala tuduhan terhadap negara tidak boleh menerima campur tangan negara asing terutamanya Amerika Syarikat kerana Malaysia mempunyai sistem perundangan sendiri bagi mengatasi tuduhan DOJ tersebut.

“Ini melibatkan undang-undang kita, saya agak terkilan bila Amerika Syarikat kata isu ini berlaku, tidak ada usul kita terus percaya. Dalam kes DOJ, ia adalah undang-undang Amerika Syarikat tentang penggubahan wang haram, dan mereka buat tuduhan itu cara mereka.

“Kalau kita saman Amerika Syarikat pun, saya rasa Amerika Syarikat akan buat tidak tahu sahaja. Di Malaysia kita kelam kabut sebab perkara itu dibangkitkan Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Jabatan Bantuan Guaman Negara di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) hari ini.

Jelasnya, Amerika Syarikat tidak perlu sibuk untuk mengadili negara ini kerana ia cuma tuduhan dan ia dipergunakan pembangkang yang menentang Najib dengan cuba mendapatkan bantuan negara itu untuk terlibat dalam politik dalaman Malaysia.

“Saya rasa kita tidak boleh respon, itu undang-undang mereka. Apa yang mereka bangkitkan terpulang kepada mereka. Kita ada undang-undang kita sendiri. Bagi saya, DoJ adalah bersangkut paut dengan undang-undang Amerika Syarikat sahaja, jadi terpulang kepada mereka.

“Itu hak DoJ, kita ada cara kita. Dalam negara kita ada sistem berparlimen dan Mahkamah dan Peguam Negara, jadi kita buat cara kita. Apa negara luar yang sibuk, apa yang Amerika Syarikat cakap, kita kena percaya,” ujarnya.

DOJ sebelum ini mengemukakan saman sivil terbaharu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). -MalaysiaGazette.