Antara mercun yang dijual secara haram.

JOHOR BAHRU – Gerai menjual bunga api serta mercun di Bazar Ramadan Kluang diserbu dan lima lelaki yang disyaki menjalankan perniagaan itu ditahan polis pada 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata, semua mereka yang berusia antara 25 hingga 44 tahun itu ditahan menerusi Ops Cantas Khas Ramadan, hasil maklumat orang awam.

“Pelbagai bunga api dan mercun bernilai RM7,100 dirampas di dalam kotak yang tertera nama ‘Happy Boom Glow Of Sunset’, ‘Football Crackers’ dan ‘Happy Boom King Cat-7’,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohamad berkata pemeriksaan mendapati seorang daripada peniaga terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette.