Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Zaid Kamaruddin (dua kanan) bercakap pada sidang media khas mengenai gesaan kembalikan keyakinan rakyat kepada Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di The Kuala Lumpur And Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 JUN 2017.
KUALA LUMPUR – Kembalikan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan mahu kedua-dua penguat kuasa itu tidak melayan tekanan yang mahu menghentikan siasatan.
Pengerusi Gerakan Bertindak Malaysia (GBM), Zaid Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklumat ada penguatkuasa  didakwa menerima tekanan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menggugurkan siasatan ke atas salah laku anggota PDRM dan memberikan perlindungan di atas salah laku jenayah.
“Salah laku ini didakwa melibatkan pegawai kanan polis di beberapa negeri. Tuduhan ini serius boleh menjejaskan bukan sahaja kepercayaan orang ramai terhadap PDRM sebagai institusi keselamatan awam tetapi juga kredibiliti kerajaan secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpu Selangor Assembly Hall hari ini.
Beliau juga menggesa SPRM meneruskan siasatan berhubung dakwaan hubung kait polis dengan penjenayah tanpa rasa takut dan memihak.
“Jika aktiviti jenayah dalam PDRM itu wujud, bawa pelaku itu ke muka pengadilan dan bantu memulihkan keyakinan orang ramai dan menghapuskan kehormatannya,” katanya.
Beliau turut menggesa PMO menjawab secara terbuka berhubung dakwaan sama ada badan itu menggunakan kuasanya menghalang SPRM untuk meneruskan siasatannya ke atas PDRM.
“PMO boleh kembalikan keyakinan orang ramai bahawa kerajaan mahu menegakkan undang-undang secara telus dan bebas sebagai amalan tadbir urus yang baik,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan juga digesa mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis untuk memastikan PDRM kekal bebas daripada unsur jenayah dan penyalahgunaan kuasa.
“Kegagalan untuk menangani dakwaan tersebut dan membuat semak dan imbang dalam PRDM akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap institusi yang dihormati ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette