Iskandar Abdul Samad

SHAH ALAM – Isu masalah pembinaan Rumah Pangsa Kos Rendah di Petaling Jaya Selatan I (PJS1) sudah selesai dan tidak lagi berbangkit, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Bahkan, katanya, kes itu telah mendapat persetujuan antara pembeli dengan pihak pemaju selepas kerajaan negeri menganjurkan perjumpaan serta perbincangan kedua-dua pihak.

Menurutnya, beliau bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha sejak tahun 2008 lagi membantu untuk menyelesaikan masalah pembinaan rumah itu oleh pemaju Peter’s Brickworks Sdn. Bhd.

“Kita telah mengadakan banyak perbincangan dengan pemaju dan pembeli. Dalam hal ini, pemaju telah mengemukakan tuntutan terhadap pemaju berkaitan kelewatan pembinaan pembangunan tersebut dan pemaju telah mengemukakan cadangan balas mereka.

“Pada mesyuarat terakhir dengan pemaju 13 April lalu, pemaju telah menyatakan pendirian untuk menolak beberapa perkara yang menurut mereka dituntut oleh pembeli seperti bayaran LAD sebanyak RM15,000 dan pengecualian bayaran faedah dan atau denda lewat yang dituntut oleh AmBank Berhad,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.

Oleh itu, ujar Iskandar, mesyuarat tersebut telah meminta pemaju mempertimbangkan agar Rumah Kos Rendah itu diubah kepada Rumah Selangorku dengan keluasan melebihi 650 kaki persegi tanpa sebarang bayaran tambahan.

Kata beliau, MBPJ juga bersedia memberi kerjasama kepada pemaju untuk mengubah projek itu kepada Rumah Selangorku.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada rundingan antara pemaju dan pembeli. Adalah tidak adil jika projek perumahan ini dibatalkan dan sekali gus menghampakan pembeli rumah yang telah sekian lama menunggu,” katanya.

Beliau berkata, sebarang pembatalan mestilah mendapat persetujuan kedua-dua pihak dan mengharapkan penyelesaian yang saksama dapat dicapai.

Iskandar turut mendakwa, kerajaan negeri telah berusaha hampir sembilan tahun untuk memastikan pemaju dan pembeli dapat mencapai persetujuan tersebut. – MalaysiaGazette