SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya
Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersetuju mewujudkan jawatankuasa bersama yang memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, kepakaran, teknologi dan kajian masing-masing sebagai medium jalinan kerjasama strategik.

Jawatankuasa itu hasil pembincangan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak untuk memerangi gejala rasuah, salah guna kuasa serta salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota agensi-agensi penguatkuasaan khususnya 21 agensi di bawah seliaan EAIC.

Pertemuan itu bersempena lawatan kerja EAIC ke SPRM di Ibu Pejabat SPRM
Putrajaya di sini, semalam.

SPRM diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Dzulkifli Ahmad manakala delegasi EAIC diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Yaacob Md. Sam.

Selain itu kedua-dua pihak juga bersedia mengadakan operasi bersama pada masa akan datang agar isu-isu yang melibatkan bidang kuasa masing-masing akan dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Kerjasama ini juga sekali gus mampu memberi peluang kepada SPRM merealisasikan
matlamatnya untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh tiga tahun iaitu menjelang tahun 2020.

SPRM dan EAIC berharap inisiatif kerjasama ini akan menghantar mesej yang jelas kepada
masyarakat bahawa kedua-dua badan ini benar-benar serius dalam memerangi dan
melumpuhkan jenayah rasuah dan salah guna kuasa khususnya dalam kalangan pegawai dan anggota penguat kuasa. – MalaysiaGazette