Samsunaha Husin (depan) bersama rakannya, Fadzail Hashim sedang menunda sebuah kereta di Plaza Tol Gombak.

GOMBAK – Semua selekoh di lebuh raya kendalian Anih Berhad adalah selamat tetapi cara pemanduan pengguna jalan raya yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan.

Kakitangan kenderaan penunda Anih Berhad, Samsunaha Husin berkata, pengalamannya bertugas selama 15 tahun di lebuh raya berkenaan mendapati kebanyakan pemandu melanggar arahan had laju yang dicadangkan.

Sebaliknya, ada segelintir pemandu yang menjadi selekoh-selekoh di lebuh raya berkenaan untuk mencuba skil pemanduan.

Lebih memburukkan keadaan apabila tayar kenderaan tidak berbunga.

“Kalau di selekoh pandu 80 kilometer sejam atau pandu laju dengan tayar tidak berbunga, hendak salah siapa? Inilah yang menjadi punca kemalangan di lebuh raya berkenaan. Bukan sebab selekoh,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam pertemuan baru-baru ini.

Anih Berhad adalah pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang merangkumi komponen Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), sepanjang 250 kilometer (KM).

Lebuah raya itu bermula dari Gombak di KM 19.2 Lembah Klang hingga ke Jabor di KM 250 Terengganu.

Samsunaha berkata, kebanyakan mangsa kemalangan di kawasan selekoh adalah terdiri dalam kalangan pemandu-pemandu muda.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan apabila berlaku kemalangan, pengguna akan mendakwa jalan licin kerana minyak tumpah.

Tetapi, apabila siasatan dijalankan syarikat mendapati dakwaan seumpama itu tidak berasas.

Ini kerana, tambahnya, setiap kali berlaku kemalangan, kakitangan Anih akan bergegas ke tempat kejadian dan membuat pemeriksaan lanjut.

“Jika berlaku tumpahan atau sebagainya, lorong jalan akan ditutup dan kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan menabur habuk kayu sebelum jalan tersebut divakum.

“Selepas jalan berkenaan selamat barulah lorong yang ditutup akan dibuka semula. Setiap kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan secara terperinci,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya berkenaan sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi setiap arahan papan tanda bagi memastikan keselamatan bersama.

Jelasnya, segala kesulitan ketika memandu dalam keadaan waktu puncak terutama pada hari-hari perayaan dapat dielakkan jika semua pemandu saling bekerjasama. – MalaysiaGazette