Pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan elektrik IOI City Mall Putrajaya semalam berpunca daripada litar pintas pemutus litar di bangunan pusat beli-belah itu dan bukan disebabkan fius terbakar di pencawang pembekal elektrik.

Sebaliknya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, sistem keselamatan di pencawang itu telah mengelakkan berlakunya kebakaran daripada panel pemutus litar kompleks beli-belah berkenaan apabila ia memutuskan bekalan tenaga ke bangunan berkenaan.

Sebelum ini, laporan menyebut gangguan bekalan elektrik di pusat beli-belah itu disebabkan oleh fius terbakar di pencawang ke IOI City Mall.

Menurut syarikat utiliti itu, IOI Mall memperoleh bekalan elektrik dari dua feeder masuk (33kV) di pencawang TNB berhampiran.

Katanya, walaupun satu feeder terjejas daripada flashover panel, bekalan telah dinormalisasi oleh IOI Mall dengan beralih ke feeder yang lain. – MalaysiaGazette