KIEV – Penggodam telah menyebabkan gangguan di seluruh Eropah, khususnya Ukraine yang menerima kesan teruk.

Operasi beberapa bank dan syarikat, termasuk pengedar tenaga milik kerajaan negara itu terganggu akibat serangan tersebut.

Gangguan terakhir disebabkan cubaan menggodam pada laman sesawang berlaku pada akhir 2016 dan serangan dilakukan sekali lagi pada grid tenaga yang menyaksikan ketua keselamatan menggesa pertahanan siber dipertingkatkan.

Para pegawai syarikat dan kerajaan melaporkan gangguan besar berlaku pada grid tenaga Ukraine, bank dan pejabat kerajaan. Syarikat tenaga Rusia, Rosneft juga dilaporkan menjadi mangsa penggodam selain syarikat perkapalan, A.P. Moller-Maersk yang menyatakan setiap cawangan perniagaannya turut menerima kesan.

“Kami boleh mengesahkan kerosakan disebabkan serangan siber,” kata seorang jurucakap.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Pavlo Rozenko menyiarkan gambar skrin komputer yang gelap di akaun Twitter dan berkata sistem komputer di ibupejabat kerajaan telah ditutup.

Terdapat sedikit maklumat mengenai dalang gangguan tersebut namun pakar teknologi yang mengkaji paparan skrin yang tersiar di media sosial berkata, ia mempunyai cap pengesahan ransomware, nama yang diberikan kepada program yang menahan data sehingga pembayaran dilakukan.

Lapangan terbang utama di Kiev juga menerima kesan daripada serangan yang menyebabkan kelewatan penerbangan, kata pengendali lapangan terbang Boryspil dalam laman Fecebook.

Ukraine menyalahkan Rusia pada serangan siber sebelum ini, termasuk serangan yang dilakukan ke atas grid tenaganya pada akhir 2015 menyebabkan bahagian barat negara itu tidak mempunyai bekalan elektrik untuk sementara waktu. – Agensi