Nelayan Vietnam yang ditahan oleh APMM - gambar fail

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menafikan wujudnya sindiket antarabangsa atau tempatan yang memantau serta mengatur pergerakan nelayan-nelayan Vietnam di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Adon Shalan berkata, ia berdasarkan modus operandi yang digunakan nelayan Vietnam ketika setiap kali berdepan anggota penguatkuasaan maritim di kawasan berkenaan.

“Kalau kita tengok modus operandi, memang mereka dipantau dan ada pihak tertentu yang mengatur kerana kita dapat maklumat, apabila kita dalam perjalanan pulang ke jeti selepas menahan sebilangan kapal, tiba-tiba akan ada satu atau dua laporan lagi mengenai pencerobohan kapal Vietnam.

“Maknanya, ada sesuatu tidak kena,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

Adon berkata, nelayan-nelayan itu juga mempunyai ejen-ejen khas yang membantu mereka dalam soal pembelaan sekiranya mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah di sini.

“Sistemnya sangat teratur terdiri daripada peguam dan sebagainya. Mereka arif tentang undang-undang negara dan dalam kes-kes sebegini, ia selalunya berlarutan di mahkamah kerana mereka (ejen) asyik menentang kes.

“Kadang-kadang, apabila kita tidak mempunyai bukti konkrit seperti gambar yang boleh menunjukkan jaring ikan dalam air, peguam mereka boleh memutar-belitkannya sehingga anak guamnya berjaya melepaskan diri daripada hukuman,” katanya.

Adon berkata perkara ini terbukti apabila APMM hanya memenangi lima kes di mahkamah sejak 2015 hingga Mei lepas manakala enam kes lagi masih dalam siasatan.

Kesemua kes itu melibatkan 11 buah kapal dan 155 anak kapal.

Daripada jumlah itu, empat kapal ditahan pada 2015, dua (2016) dan lima kapal (sehingga Mei tahun ini) dengan nilai rampasan ikan berjumlah RM241,192.

Menurut Adon, kebanyakan nelayan ini bergerak aktif di Tanjung Sedili, Kota Tinggi dan Pulau Aur, Mersing memandangkan kedua-dua kawasan kaya dengan sumber makanan laut.

“Apabila memasuki perairan negara, mereka tidak datang keseorangan malah datang secara berkumpulan, sekurang-kurangnya 10 kapal. Itu sebab kalau kita dapat tangkap sekali pun, kita hanya dapat menahan satu dua buah dan bukan kesemuanya kerana apabila menyedari bot APMM, mereka akan terus lari.

“Namun, selepas beberapa ketika, mereka akan datang semula,” katanya.

Justeru itu, untuk menyekat sepenuhnya kegiatan itu, APMM memerlukan penambahan anggota dan aset-aset yang dapat membantu mereka melaksanakan tugas secara berkesan.

“Dengan keluasan perairan Johor iaitu 14,334 batu nautika persegi tidak dinafikan kita memang memerlukan aset tambahan.

“Kalau di bahagian barat peraiaran negara, lebih sesuai kalau kita gunakan bot-bot laju seperti bot petir kerana zaman sekarang, penjenayah sudah mula menggunakan bot-bot yang memiliki empat hingga lima enjin yang boleh mencapai kelajuan sehingga 50 knot sejam.

“Kita pula masih menggunakan bot dua enjin dan disebabkan itu, adalah sukar untuk kita mengejarnya,” kata beliau.

Sementara itu, di sebelah timur pula, kawasan ini melibatkan perairan luas dan bertentangan dengan Laut China Selatan.

“Ekoran itu, banyak aktiviti-aktiviti dilakukan termasuk pemunggahan kapal-kapal dagang dan sebagainya. Jadi, kita memerlukan kapal-kapal yang canggih dan laju kerana kapal sekarang adalah terhad kelajuannya,” katanya. – MalaysiaGazette