Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memeriksa butir peribadi pekerja asing ketika operasi pertama Imigresen menahan pekerja asing yang gagal mendaftar kad sementara E-Kad di Kapar Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 JUN 2017.

KAPAR – Selepas berakhir tempoh permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) semalam, Jabatan Imigresen mula menggempur pekerja asing tanpa izin (PATI) yang masuk tidak memiliki dokumen yang sah.

Operasi pertama Jabatan Imigresen dijalankan di Kapar, Selangor dengan dua buah hostel yang menempatkan warga asing diserbu oleh pihak berkuasa.

Dalam operasi tersebut, Jabatan Imigresen memeriksa hampir 239 warga asing dan sebanyak 51 tangkapan berjaya dilakukan selepas mendapati mereka tidak memiliki E-Kad dan pasport yang sudah tamat tempoh.

Ke semua 51 individu yang ditangkap terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang rata-rata mereka bekerja di sekitar kilang berdekatan.

Operasi malam tadi diketuai sendiri oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali bersama kekuatan 86 anggota yang berakhir kira-kira jam 3 pagi.

Mustafar yang ditemui berkata dalam serbuan malam tadi menunjukkan masih ada majikan yang ingkar dan tidak mendaftarkan E-Kad pekerja mereka walaupun sudah diberikan tempoh sejak 15 Februari lalu.

“Dalam pemeriksaan malam ini, kita mendapati masih ada majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka walaupun sudah berbulan-bulan tempoh diberikan.

“Kita dapati ada antara mereka yang sudah memiliki E-Kad dan ada juga tidak ada. Yang tidak memiliki kami tahan dan akan dibawa ke pusat tahanan, kami juga akan siasat mengenai majikan mereka,” kata Mustafar semasa ditemui media dalam operasi tersebut.

Jelas Mustafar, operasi yang bermula malam tadi sebaik berakhir tempoh permohonan E-Kad membuktikan keseriusan pihak berkuasa dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana PATI yang ingkar dan masih menetap di dalam negara secara tidak sah.

“Kita turun ini bagi menunjukkan bahawa kita serius dan mana-mana PATI yang berkeliarab kita akan ambil tindakan dengan tegas,” katanya.

Menurut Mustafar, operasi sama juga akan dijalankan ke seluruh negara bagi mengenalpasti PATI yang duduk secara haram di Malaysia.

Program e-Kad yang dilancarkan di seluruh negara bertujuan membolehkan PATI mendapatkan permit kerja sah selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ia juga bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Februari 2018.

Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette