Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran itu akan membantu melancarkan lantikan kontrak bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Misalnya graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Kebangsaan di universiti, dan beberapa kategori lain.

Menurut beliau, kelonggaran ini bukanlah suatu perkara baru, malahan lantikan kontrak bagi Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan bukan warganegara juga tidak memerlukan kelulusan BM di peringkat SPM.

“Sebelum ini, kelonggaran juga pernah diberi bagi lantikan tetap Pegawai Perubatan ke perkhidmatan awam, memandangkan pada masa tersebut terdapat kekurangan yang akut bagi bilangan Pegawai Perubatan untuk menampung keperluan perkhidmatan yang kritikal.

“Namun begitu, sejak awal tahun ini kelonggaran tersebut telah diketatkan semula bagi lantikan secara tetap sebagai Pegawai Perubatan di KKM, yang mana calon perlulah Lulus BM di peringkat SPM.

“Justeru, keputusan ini adalah selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan memartabatkan bahasa rasmi Persekutuan ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32),” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Dr Noor Hisham, Akta Perubatan 1971 telah memperuntukkan di bawah Seksyen 13 (2) bahawa seseorang graduan perubatan yang diberi Pendaftaran Sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia wajib menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum boleh diberi Pendaftaran Penuh sebagai seorang Pegawai Perubatan yang bertauliah.

Seksyen 40 Akta yang sama turut menetapkan bahawa Pegawai Perubatan perlu juga menjalani khidmat wajib di dalam sektor awam setelah diberi Pendaftaran Penuh.

Susulan pengumuman Bajet 2017 pada Oktober 2016, graduan perubatan kini adalah dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama 2 tahun dan khidmat wajib selama 2 tahun.

Sekiranya seorang graduan perubatan tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan tersebut tidak dibenarkan sama sekali untuk mengamal sebagai seorang Doktor Perubatan di Malaysia.

“KKM prihatin bahawa ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan Perubatan di universiti,” ujar beliau. – MalaysiaGazette