KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mengecam tindakan HSBC yang membuang pekerja berpendapatan rendah di bawah Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kerana dalam masa yang sama mengambil pekerja-pekerja baharu menggantikan mereka.

Menurut A. Karuna yang mewakili Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, meskipun HSBC mendakwa tindakan tersebut adalah sukarela namun difahamkan pekerja-pekerja yang enggan menerima VSS telah diugut dan diancam untuk diarahkan berpindah tempat kerja yang tidak munasabah.

“NUBE menggesa campur tangan segera Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara Malaysia untuk menghalang entiti multinasional tersebut daripada menjejaskan ekonomi dan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Karuna, Ketua Jabatan Sumber Manusia HSBC Malaysia, Callister Koh telah cuba mengelirukan wakil kesatuan yang aktif agar menerima VSS.

Beliau memberitahu bahawa sekarang adalah tempoh yang buruk bagi HSBC dan Malaysia dengan menyatakan kononnya kini ramai orang bercakap buruk tentang Malaysia dan mencadangkan wakil kesatuan bahawa penyelesaian paling mudah adalah dengan berhijrah ke Australia atau mana-mana negara lain.

Callister juga mendakwa ia merupakan arahan daripada Kumpulan HSBC.

“Tindakan bank asing itu merupakan usaha yang secara terang-terangan bertujuan menjejaskan ekonomi dan rakyat Malaysia pada umumnya.

“HSBC juga mengambil keputusan-keputusan unilateral dengan mengabaikan prinsip-prinsip asas perhubungan perusahaan yang baik, yang wujud sejak dua tahun lalu.

“Beberapa insiden yang berkaitan dengan penindasan pekerja dalam tempoh dua tahun lalu telah dengan jelas menunjukkan pendekatan membuli HSBC, situasi yang bertentangan dengan semangat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membina antara majikan dan pekerja.

“Di samping itu, HSBC secara unilateral telah melanggar Perjanjian Bersama (CA) yang mengikat secara sah kedua-dua NUBE dan HSBC – satu tindakan yang menyasarkan kumpulan pekerja rendah.

“Akibatnya, wakil kesatuan aktif yang enggan menerima tawaran VSS telah diberi surat ditukar ke cawangan lain, yang memaksa dia untuk melakukan perjalanan sejauh 60km dari tempat kerja sekarang manakala kerja asalnya telah disumber keluar kepada sebuah syarikat di mana pekerja mereka bekerja sepenuh masa di premis bank.

“Ini satu bentuk tipikal menggantikan pekerja-pekerja yang diwakili kesatuan dengan mereka yang tidak menjadi ahli kesatuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette